BILA ULAR TEDUNG KEJAR ULAR RUSUK KERBAU...
Published byBAGAIMANAKAH nasib seorang pemandu kereta sekiranya dua ekor ular berbisa iaitu tedung selar dan ular rusuk kerbau yang berada dalam enjin kereta memasuki ke dalam keretanya ketika dia sedang memandu.
Jika tidak terkena patukan berbisa ular berkenaan mungkin ia akan menjadi punca kemalangan kerana terkejut dengan kehadiran ular berkenaan.
Justeru pemilik kereta berkenaan harus bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada seorang anggota bomba yang ternampak dua ekor ular berbisa berkenaan memasuki enjin keretanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang di Kampung Bukit Kapor, Jelu di Raub, Pahang pada Khamis (7/11/2019) lalu, seorang anggota bomba yang tinggal di kawasan berhampiran ternampak seekor ular tedung selar sepanjang 12 kaki mengejar seekor ular rusuk kerbau 5 kaki.
Ular berkenaan kemudian memasuki ke bahagian enjin kereta jenis Honda Civic yang diletakkan berhampiran sebuah Klinik Kesihatan sebelum anggota bomba yang menyaksikan kejadian menghubungi balai bomba berhampiran.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, empat anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan mengambil masa kira-kira 10 minit menangkap ular berkenaan.
"Semasa tangkapan ular tedung selar berkenaan agak agresif dan bomba berjaya menangkap kedua-dua ekor ular berkenaan menggunakan penjerut,"katanya.