Berita Terkini| Tabung surau dipecahkan pencuri! Wang derma sepanjang PKP sejak Jun 2021 lesap!
Published byJumlah sebenar wang dilarikan pencuri yang memecahkan tabung Surau Al-Huda, Taman Inderapura, Jerantut tidak dapat dipastikan. - Kredit foto: Ihsan penduduk
AHLI jemaah Surau Al-Huda Taman Inderapura, bandar Jerantut, Pahang terkejut setelah mendapati tabung surau berkenaan dipecahkan oleh pencuri yang menceroboh masuk dalam kejadian 17 September 2021.
Pengerusi Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Taman Inderapura (Bakkti), Rahmat Yusof berkata, kejadian berkenaan dipercayai berlaku selepas solat zohor hingga menjelang waktu asar.
"Kejadian hanya disedari ahli jemaah surau ketika hendak memulakan solat asar setelah melihat Tabung Bakkti Surau Al-Huda pecah dan wang di dalamnya lesap.
"Jumlah wang terkumpul dalam tabung ini tidak dapat dipastikan nilainya namun dipercayai banyak kerana ia hasil sumbangan ahli kariah surau dan dermawan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak empat bulan lalu.
"Jawatankuasa surau masih belum membuka tabung itu untuk melakukan kiraan wang memandangkan masih pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan kehadiran jemaah surau terhad," katanya dipetik laporan Utusan Malaysia, 18 September 2021.
Ujarnya, laporan polis telah dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut jam 5.15 petang pada hari kejadian dan polis melakukan siasatan serta pemeriksaan dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV).
Tambah beliau lagi, susulan kejadian tidak diingini itu jawatankuasa pengurusan surau akan memasang dua unit CCTV lagi di luar surau sebagai langkah kawalan serta jaminan keselamatan pada masa akan datang. - KitaReporters