ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sedia menempatkan hospital medan dan pasukan vaksinasi ke lima negeri yang dikenal pasti mempunyai kadar jangkitan Covid-19 tertinggi ketika ini.

Menteri Kanan Keselamatan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kesediaan ATM itu berikutan situasi jangkitan di lima negeri terbabit iaitu Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Katanya, usaha mengurus dan meredakan situasi di kelima-lima negeri berkenaan sudah tentu menjadi keutamaan ATM kerana perkara paling penting bagi ATM ketika ini ialah memenuhi agenda nasional, terutama memerangi Covid-19.

"ATM sememangnya mempunyai insfratruktur, aset serta kepakaran yang mencukupi dan sedia diatur gerak pada bila-bila masa," katanya seperti dipetik Berita Harian, pada Khamis, 2 September 2021.

ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera bersedia membantu kerajaan mendirikan Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bagi membantu memberikan rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19 khususnya berada dalam keadaan tahap 3 ke atas.

"Saya percaya bantuan ATM ini dapat membantu dan berupaya mengurangkan beban yang ditanggung oleh KKM di lima negeri terbabit," katanya. - KitaReporters


 

0
0
0
0
0

Copy Link: