Berita Terkini| Yob Hijrah dipindahkan dari Kg Air Jada ke Hutan Royal Belum! Guna khidmat 2 denak
Published byYob Hijrah dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum dengan dipujuk menggunakan khidmat dua gajah denak. - Kredit foto: Bernama
SEEKOR gajah jantan seberat kira-kira 1.5 tan yang ditangkap di Kampung Air Jada, Gerik, Perak berjaya dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ke Hutan Simpan Royal Belum pada 14 Ogos 2021.
Operasi memindahkan gajah berusia 21 tahun yang diberi nama ‘Yob Hijrah’ itu mengambil masa satu jam setengah bermula jam 11 pagi dengan menggunakan khidmat dua gajah denak.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata masa agak lama diperlukan bagi ‘menarik’ haiwan itu menaiki lori memandangkan gajah itu perlu menyeberangi sungai.
“Khidmat gajah denak iaitu Alam dan Abot didatangkan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang yang digunakan untuk 'memujuk' Yob Hijrah yang ditangkap 10 Ogos 2021 selepas dipercayai tersesat dan merosakkan tanaman penduduk.
“Gajah itu dinamakan ‘Yob Hijrah’ kerana ditangkap pada hari sambutan Maal Hijrah. Haiwan ini dikenal pasti dari kumpulan Papulut yang terdiri daripada enam ekor kawanan yang pernah dilihat penduduk kampung lebih setahun lalu.
“Hanya Yob Hijrah sahaja dilihat memasuki kawasan tanaman penduduk. Kita yakin baki lima lagi gajah kawanan tersebut tidak akan kembali dalam waktu terdekat kerana musim buah hampir tamat,” katanya yang dipetik daripada laporan Harian Metro.
Tambah
Yusoff, operasi pemindahan Yob Hijrah membabitkan 10 kakitangan Perhilitan
Perak dan 15 kakitangan PKGK Kuala Gandah. - KitaReporters