SENJATA yang digunakan suspek melibas anggota polis. - Kredit Foto PDRM


SEORANG isteri dibelasah teruk oleh suaminya hanya kerana dia menegur suami yang bercakap sendirian di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit di Kangar, Perlis, pada Khamis 15 Julai 2021 lalu.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, suspek yang mengamuk turut bertindak agresif dengan menyerang pasukan polis yang cuba menahannya sehingga tiga anggota mengalami kecederaan akibat terkena libasan pedang lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima laporan daripada seorang suri rumah yang mengadu telah dipukul suaminya di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit.

“Wanita itu mengadu dia ditampar, ditarik rambut dan dihentak muka ke lantai serta dipijak selain suspek meletakkan sebilah kapak pada leher pengadu. Suspek turut menarik rambut serta mengheretnya ke dalam bilik,” katanya seperti dipetik Kosmo, pada Sabtu 17 Julai 2021.

Menurutnya, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padang Besar kemudian bergegas ke rumah berkenaan untuk membuat tangkapan ke atas suspek di bawah Seksyen 506/ 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012.

“Usaha memujuk oleh pihak polis dan anak lelaki suspek selama lebih sejam tidak berjaya. Suspek bertindak lebih agresif dengan melibas pedang sehingga terkena tangan kanan seorang anggota polis menyebabkan kecederaan yang serius,” ujarnya.

Saifudin berkata, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran, tetapi suspek terus menyerang sehingga pasukannya melepaskan tembakan ke arah lelaki itu untuk melindungi keselamatan semua anggota dan anak suspek yang berada di situ.

Setakat ini, polis juga masih menyiasat sama ada lelaki terbabit yang bekerja sendiri berada di bawah pengaruh dadah atau mengalami kemurungan dan tekanan emosi ketika kejadian berlaku. - KitaReporters


Suspek mati ditembak selepas menyerang anggota polis di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit.


0
0
0
1
0

Copy Link: