Berita Terkini| Sembunyi 5.56 tan daun ketum dalam tangki lori simen! 2 ditahan bantu siasatan!
Published byDaun ketum seberat 5.56 tan yang dirampas polis susulan penahanan dua lelaki di SJR Chetok, Pasir Mas. - Kredit foto: FB Polis Kontinjen Kelantan
DUA lelaki
ditahan oleh polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di Chetok, Pasir Mas setelah
didapati menyembunyikan daun ketum seberat 5.56 tan di dalam tangki sebuah lori simen.
Dalam kejadian 3.15 pagi pada 14 September 2021 itu, pemandu lori berusia 35 tahun dan kelindan berumur 45 tahun dipercayai membawa daun ketum berkenaan untuk diseludup ke negara jiran.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata terdahulu pihak polis menerima maklumat berhubung kegiatan berkenaan jam 1 pagi dan jalankan siasatan bagi mematahkan usaha menyeludup daun ketum melalui negeri berkenaan.
“Semasa melalui SJR Chetok, Pasir Mas sebuah lori ditahan dan hasil pemeriksaan di bahagian tangki simen menjumpai bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ia dipenuhi 566 bungkusan daun ketum yang setiap satunya punyai berat 10 kilogram dengan nilai anggaran hampir RM200,000,” katanya dipetik laporan Kosmo bertarikh 14 September 2021.
Ujar beliau lagi, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut dan polis turut merampas kesemua daun ketum berkenaan.
Difahamkan,
dua suspek itu menerima upah RM3,000 bagi perjalanan satu hala membawa barang
terlarang itu dari Kedah ke Kelantan. - KitaReporters