Berita Terkini| Guru tolak vaksin tak dibenar mengajar dalam kelas! Masih berbaki 2,500 orang!
Published byGambar hiasan… Sesi persekolahan dijangka dibuka pada 3 Oktober 2021. - Kredit foto: mstar
MANA-MANA guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka setelah sesi persekolahan dijadualkan buka pada 3 Oktober 2021.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata masih terdapat 2,500 guru seluruh negara ini tidak mahu divaksinasi setakat ini dan pihak kementerian akan keluarkan garis panduan tugasan kepada golongan berkenaan.
“Kita akan adakan sesi libat urus bersama mereka (guru enggan divaksin) ini. Apabila sekolah dibuka nanti, guru yang tidak divaksinkan tidak boleh mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar.
“Garis panduan akan dikeluarkan nanti. Kita juga sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung tindakan boleh diambil terhadap guru yang masih belum divaksin,” katanya dipetik laporan Harian Metro siaran 3 September 2021.
Tambah beliau, ada dalam kalangan guru tidak dapat divaksin atas faktor kesihatan, namun ada juga hanya disebabkan rasa tidak yakin dengan keberkesanan vaksin.
“Terdapat pelbagai alasan diberikan mereka, kita akan teliti satu persatu dan minta Jabatan Pendidikan Negeri atau Pusat Pendidikan Daerah bertemu, sekali gus beri penjelasan mengenai keperluan vaksin ini.
“Sehingga
kini sebanyak 85.26 peratus guru di seluruh negara ini sudah lengkap dua
dos vaksin, manakala 96.7 peratus sudah pun menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19,”
ujarnya. -KitaReporters