Berita Terkini| Panggilan palsu kes tembak, bunuh! Lelaki ditahan! Positif dadah, miliki rekod!

Published by
KitaReporters

Gambar hiasan... Membuat panggilan palsu adalah satu kesalahan. - Kredit foto: gambar Internet


SEORANG lelaki berusia 31 tahun dicekup oleh polis gara-gara membuat panggilan palsu berhubung kes tembak dan bunuh di Kampung Kolam Abu, Machang.

Suspek ditahan kira-kira jam 1 pagi pada 12 September di sekitar kawasan lokasi dilaporkannya berlaku kejadian tembak dan bunuh berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata terdahulu Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menerima satu panggilan memaklumkan berlakunya kejadian tembak dan bunuh di kampung itu.

“Panggilan diterima jam 11.21 malam pada 11 September 2021. Pemanggil memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia manakala suspek pula melarikan diri.

“Maklumat segera disalurkan ke Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang  sebelum sepasukan pegawai dan anggota terus ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dijalankan tidak menemui sebarang tanda atau apa-apa yang disabitkan dengan kejadian dilaporkan itu,” katanya dipetik laporan Berita Harian bertarikh 12 September 2021.

Tambah beliau, kejadian dilaporkan ternyata palsu manakala suspek ditahan oleh polis di kawasan sekitar dan direman selama tiga hari bermula tarikh ditangkap dengan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).

Katanya lagi, hasil ujian saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki lima rekod lampau berkait dadah serta jenayah. - KitaReporters


12
13
0
10
0

Copy Link: