Berita Terkini| KWP wujudkan pusat transit khusus! Bagi tempatkan gelandangan bermasalah mental!
Published byKEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) bercadang mewujudkan pusat transit khusus bagi menempatkan gelandangan yang mempunyai masalah mental di Kuala Lumpur.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji kawasan yang sesuai untuk menempatkan golongan berkenaan.
Pusat transit berkenaan apabila siap nanti akan diselia oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Ketika ini kita tiada pusat khusus untuk menampung mereka yang menghidap masalah mental dalam kalangan gelandangan di Kuala Lumpur.
“Ini adalah perancangan jangka masa panjang untuk kenal pasti kawasan atau bangunan untuk dijadikan pusat rawatan masalah mental dan kajian sedang dibuat sekarang," katanya seperti dipetik Bernama, Jumaat, 17 September 2021.
Rumah tumpangan gelandangan sedia ada ketika ini tidak sesuai menempatkan golongan yang mempunyai masalah mental kerana ia boleh mendatangkan masalah kepada penginap di rumah transit sedia ada.
Jalaluddin berkata kementerian berkenaan akan mengambil contoh pengurusan pusat transit gelandangan mental di Melaka dan akan diguna pakai di Kuala Lumpur. - KitaReporters