Berita Terkini| Cuaca panas, kering sehingga Sept! Lapor dan elakkan pembakaran terbuka - Bomba
Published byPenolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini.
ORANG awam diminta segera melaporkan insiden kebakaran kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di samping tidak membuat pembakaran terbuka ekoran cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, sebarang kejadian yang mencurigakan seperti asap dan api kecil perlu dilaporkan segera bagi mengelakkan ia menjadi lebih besar ataupun merebak.
“Terus maklum pada kita insya-Allah pihak kami akan respons secepat mungkin dan saya harap tiada pihak yang melakukan pembakaran terbuka kerana bimbang tidak ada kawalan dan akan merebak,” katanya seperti dipetik oleh Bernama pada Sabtu, 31 Julai 2021.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan, negara ketika ini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September.
Pada masa yang sama Hafisham berkata, JBPM Selangor sentiasa melakukan rondaan wajib di kawasan yang dikenal pasti menjadi ‘titik panas’ kebakaran, terutama ketika cuaca panas dan kering antaranya di Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan; HSKL Utara dan kawasan Johan Setia, Klang.
Beliau berkata, pihaknya kini giat menjalankan pemadaman di kawasan dipercayai lokasi pertanian di sekitar Johan Setia sejak Rabu, 28 Julai 2021 dan ia kini seolah-olah menjadi ‘rutin’ tahunan untuk pihaknya melakukan pemadaman di lokasi itu. - KitaReporters
Anggota bomba mengawal kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat . Foto Kredit: Selangorkini