Berita Terkini| Julai hingga September waktu sibuk dan kritikal PICK! 12 juta dos akan tiba - KJ
Published byTEMPOH tiga bulan akan datang bakal menjadi waktu yang sangat sibuk dan kritikal bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Penyelarasnya, Khairy Jamaluddin berkata, dalam tempoh berkenaan, Malaysia bakal menerima bekalan dos vaksin dalam jumlah sangat
besar, mulai bulan Julai ini hingga September.
Jelas beliau, jumlah vaksinasi yang dicatatkan sejak
PICK mula dilaksanakan pada Februari lalu ialah sekitar lapan juta dos.
"Tetapi bagi Julai ini sahaja, kita bakal
menerima bekalan vaksin lebih 12 juta dos. Sudah pasti Julai akan menjadi
tempoh yang genting buat PICK apabila kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan di
seluruh negara.
"Bagi memastikan cabaran pada bulan-bulan
mendatang dilalui dengan teratur dan lancar, kapasiti vaksinasi di seluruh
negara akan ditingkatkan dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin
(PPV),” katanya seperti dipetik oleh Berita
Harian pada Sabtu, 3 Julai 2021.
Dalam pada itu beliau menambah, tenaga kerja kesihatan dan sukarelawan akan ditambah.
“Ketika ini, sebanyak 1,400 PPV sedang beroperasi di
seluruh negara, selain PPV dalam pelbagai bentuk serta saiz, termasuk secara
sementara di perkampungan Orang Asli.
"Kita turut membuka PPV di rumah ibadat, sekolah,
universiti, dewan komuniti, tempat kerja, kawasan perladangan dan restoran,
selain berteraskan konsep pandu lalu," katanya.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
berkata, usaha giat juga sedang dilakukan bagi memastikan tempahan vaksin
CanSino oleh Malaysia berupaya dihantar pada bulan Julai ini. - KitaReporters