Berita Terkini| Pekebun bunga Cameron Highland gulung tikar! Tanam sayur-sayuran ganti bunga!
Published byPEKEBUN kin terpaksa beralih kepada tanaman sayur berikutan permintaan kurang daripada pelanggan. - Kredit foto: Pejabat Daerah Cameron Highlands
KIRA-KIRA 50 pekebun bunga di Cameron Highlands yang mengusahakan kebun berskala kecil terpaksa gulung tikar apabila terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Golongan itu kini terpaksa beralih dengan mengusahakan
tanaman sayuran selepas terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat
memasarkan bunga yang ditanam.
Pengerusi Persatuan Bunga Cameron Highlands, Lee Peng Fo,
berkata pasaran pelbagai jenis bunga di kawasan itu sepanjang PKP 3.0 amat
perlahan disebabkan tiada permintaan pengguna di seluruh negara.
“Pekebun hanya bergantung pada pasaran tempatan, tidak
dapat meneruskan projek tanaman bunga disebabkan tiada permintaan apabila semua
majlis rasmi tidak boleh diadakan dalam tempoh yang panjang.
“Jadi bagi memastikan pendapatan tidak terus terputus
kebanyakan pekebun bunga kini menanam sayuran yang masih mendapat permintaan
tinggi daripada pengguna,” katanya seperti dipetik Berita Harian pada Khamis, 1 Julai 2021.
Katanya lagi bagi pekebun yang mengusahakan tanaman bunga berskala besar pula, mereka mengecilkan jumlah tanaman bagi mengelak kerugian sekiranya pasaran tidak dapat dilakukan.
"Bagi mereka yang memasarkan bunga ke luar negara permintaan
masih berlaku secara berterusan walaupun jumlahnya tidak banyak berbanding
sebelum ini," katanya,
Terdapat lebih 200 pekebun bunga berskala kecil dan besar
di Cameron Highlands, yang mana 75 hingga 80 peratus pekebun memasarkan
keluaran bunga mereka ke luar negara dan selebihnya tempatan. - KitaReporters
TIMBUNAN bunga yang dibuang di tempat pembuangan sampah di Cameron Highlands kerana tidak dapat dipasarkan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh. - Kredit foto: Utusan Malaysia