Berita Terkini| Kebakaran bengkel kenderaan! 8 premis musnah! 6 individu sempat selamatkan diri!

Published by
KitaReporters

Kebakaran melibatkan lapan deretan bengkel kenderaan di Jalan Tanjung Api, Kuantan dalam kejadian pagi 27 Ogos 2021. - Kredit foto: FB Bomba & Penyelamat Negeri Pahang


LAPAN deretan premis bengkel kenderaan di Jalan Tanjung Api, Padang Lalang, Kuantan musnah dalam kebakaran berlaku pada pagi Jumaat, 27 Ogos 2021.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata kejadian dilaporkan jam 5.06 pagi itu turut menyebabkan kerosakan dua jentera berat serta beberapa buah kenderaan lain.

“Sejurus menerima panggilan seramai 28 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, BBP Indera Mahkota dan BBP Gebeng bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi memadam kebakaran.

“Tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan deretan premis bengkel kereta. Enam penghuni di premis-premis terlibat selamat setelah semuanya sempat menyelamatkan diri.

“Kebakaran melibatkan bengkel kereta, bengkel mengecat kenderaan dan bengkel kerja kejuruteraan itu berjaya dipadamkan dalam tempoh lebih tiga jam,” katanya dipetik daripada laporan Sinar Harian pada 27 Ogos 2021.

Ujar beliau lagi, anggaran kemusnahan sebanyak 85 peratus dan punca sebenar kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: