Pekerja ladang kelapa sawit teruja menerima suntikan vaksin apabila Pasukan Bertindak Imunisasi Covid (CITF) tiba memberikan vaksin Covid-19. - Kredit foto: Sinar Harian


KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bercadang memperluaskan lagi Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (Vacoms) menerusi Program Pemberian Vaksin (PPV) secara bergerak dalam tempoh terdekat.

Ketua Setiausahanya, Datuk Ravi Muthayah berkata, pihaknya masih menunggu permohonan secara rasmi daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), sebelum perkara itu dibincangkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Pihaknya menyasarkan untuk membuka lebih banyak PPV bergerak di sektor perladangan di seluruh negara bagi membolehkan proses vaksinasi pekerja ladang dipercepatkan dan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 165,000 ahli MPOA.

"Kita ingin membawa kemudahan PPV bergerak ini bagi membolehkan semua pekerja perladangan selaku nadi sektor pertanian negara diberi peluang mendapat suntikan vaksin," katanya seperti dipetik oleh Sinar Harian pada Khamis, 29 Julai 2021.

Ravi berkata, pelaksanaan vaksinasi secara bergerak di sektor perladangan itu nanti akan dilaksanakan secara usahasama dengan Poliklinik Sri Prima.

"Mungkin kita dapat memberikan vaksin secara bergerak ini kepada 100, 200 atau 300 individu di setiap ladang. Pemberian vaksin bergerak ini merupakan kaedah paling selamat dan mudah berbanding orang ramai bergerak ke tempat vaksin selain dilihat menjimatkan masa dan pantas," ujarnya. - KitaReporters


 

0
0
0
0
0

Copy Link: