Gambar hiasan… KPM akan terus berusaha menggalakkan semua pelajar mengambil vaksin Covid-19. - Kredit foto: FB Warga Hulu Sihat


PELAJAR-PELAJAR yang belum atau tidak menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh hadir ke sekolah sebaik sahaja sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat-peringkat bermula pada 3 Oktober 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan mengasingkan atau mendiskriminasi pelajar berkenaan meski pun belum divaksinasi.

“Kita akan terus berusaha menggalakkan semua atau 100 peratus pelajar mengambil vaksin Covid-19. Setakat ini, hanya sebilangan kecil sahaja masih enggan menerimanya atas alasan belum bersedia dan bukan menolak sepenuhnya.

“Statistik jumlah sebenar mereka kita belum ada setakat ini memandangkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat remaja masih berjalan. Kita tidak menolak kemungkinan ada yang masih belum sedia ketika ini untuk divaksin.

"Namun, secara keseluruhannya majoriti pelajar setuju menerima vaksin. KPM akan terus berusaha memberikan penerangan mengenai keperluan mengambil vaksin ini kepada kumpulan sasar termasuk ibu bapa,” katanya yang dipetik laporan Berita Harian  siaran 27 September 2021.

Tambah beliau, setakat 26 September 2021, jumlah pelajar berusia 12 tahun hingga 17 tahun yang  menerima vaksin seluruh negara adalah sebanyak 33.3 peratus sudah terima dos pertama, manakala 4.5 peratus telah lengkap dua dos.

Katanya lagi, pihaknya belum mendapat sebarang laporan mengenai kesan sampingan bagi pelajar yang telah divaksin dan berharap data dalam aplikasi MySejahtera dikemas kini bagi pastikan kelangsungan serta menilai kejayaan PICK untuk remaja. -KitaReporters


16
12
0
15
0

Copy Link: