APA PUNYA BAPAK? PUKUL ANAK SEBAB MAKANAN
Published bySEORANG bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anaknya malah sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anaknya. Sebagai ketua keluarga juga seorang bapa harus sentiasa berfikiran waras dan tidak sewenang-wenangnya melepaskan kemarahan kepada anak-anaknya. : KitaReporters.com
Namun lain pula cerita seorang bapa di Temerloh, Pahang yang sanggup memukul anaknya hanya kerana anak perempuannya yang berumur sembilan tahun itu membawa pulang makanan yang dibawa untuk majlis perpisahan sekolah.
Mangsa dipercayai membawa pulang makanan dibawa kerana tidak disentuh oleh rakan-rakannya sebelum menimbulkan kemarahan bapanya yang tinggal bersamanya selepas bercerai dengan ibu mangsa pada 2015.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang Jumaat (22/11/2019) lalu di sebuah rumah di Taman Setia Jasa di Temerloh mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras sehingga mengalami lebam pada bahagian paha dan bengkak di kepala.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, suspek yang berusia 47 tahun ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini (24/11/2019) untuk siasatan lanjut.
Katanya, berdasarkan maklumat awal mendapati kejadian berpunca akibat suspek marah kepada mangsa kerana membawa balik semula makanan yang dibekalkan untuk satu majlis perpisahan di sekolah.
"Mengetahui makanan tersebut tidak disentuh oleh murid-murid dan guru, suspek marah dan bertindak memukul serta memaki hamun mangsa.
"Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengalami kesan lebam pada paha kiri dan bengkak di bahagian kepala," katanya di Temerloh, hari ini (24/11/2019).
Menurutnya, suspek yang berusia 47 tahun telah bercerai dengan isterinya dan mempunyai tiga orang anak berumur 9, 10 dan 13 tahun yang tinggal bersamanya selepas mendapat hak penjagaan. - KitaReporters.com
#Temerloh