'BERGELUT' TANGKAP ULAR TEDUNG DI SILING
Published byJANGAN ambil mudah sekiranya terdengar bunyi bising di atas siling rumah dengan menganggap hanyalah bunyi tikus atau kucing yang berjalan. : KitaReporters.com
Ini kerana ular tedung selar yang amat berbisa juga boleh merayap di atas siling rumah seterusnya memberikan ancaman kepada keluarga anda.
Dalam kejadian di Kampung Batu Talam di Raub, Pahang pada Khamis (20/11/2019) lalu, sebuah keluarga digemparkan dengan kehadiran seekor ular tedung selar sepanjang 3.7 meter (12 kaki) di atas siling bilik di rumah berkenaan.
Bomba yang dipanggil dalam kejadian kira-kira pukul 12.52 tengah hari itu terpaksa bergadai nyawa menangkap ular berkenaan dengan memasuki siling yang sempit dan gelap.
Dalam keadaan panas dan gelap, anggota bomba dari Balai Bomba Raub itu berhadapan risiko dipatuk ular dan juga boleh terjatuh ke bawah sekiranya tersilap langkah.
Pegawai Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan daripada keluarga berkenaan.
Katanya, dengan keadaan siling di atas bilik yang sempit, seramai tiga anggota membuat pencarian dengan memanjat dan memasuki siling berkenaan.
"Operasi ini mengambil masa lebih kurang satu jam setengah kerana bomba mengalami kesukaran untuk menangkap ular tersebut kerana ruang siling rumah yang sempit.
"Anggota bomba berjaya menangkap ular tedung berkenaan dengan menggunakan penjerut sebelum melepaskannya di tempat selamat yang jauh dari penempatan," katanya.
Terima kasih dan terbaiklah, Abang-Abang Bomba!!
Semoga Allah permudah semua usaha dan tugas mereka. - KitaReporters.com