Berita Terkini| Fenomena air banjir warna merah di Johor Bahru! Kilang tekstil dipercayai punca!
Published byKejadian air banjir berwarna merah mengemparkan penduduk kerana kali pertama berlaku di Kampung Sri Jaya Baru dan Kampung Pasir, Johor Bahru. - Kredit foto: Gambar tular
PENDUDUK di Kampung Sri Jaya Baru dan Kampung Pasir di Johor Bahru gempar dan cemas setelah kediaman mereka dilanda banjir kilat berwarna merah dalam kejadian pada 30 September 2021.
Fenomena banjir merah berkenaan kali pertama dialami mereka selepas hujan lebat lebih tiga jam sejak awal pagi hingga menyebabkan air melimpah memasuki beberapa rumah penduduk yang tinggal di kawasan rendah.
Ketua Biro Komunikasi Parlimen Pulai, Azmi Misni berkata kejadian air banjir berwarna merah itu menimbulkan kebimbangan penduduk dan ia dipercayai berpunca dari sebuah kilang tekstil berhampiran.
“Kawasan ini sering dilanda banjir kilat namun kejadian air banjir berwarna merah belum pernah terjadi. Kejadian ini dipercayai berpunca dari kilang tekstil yang sudah ditutup hampir 10 tahun lalu.
“Kita pergi siasat warna itu dari kilang berkenaan. Kemungkinan tong mengandungi bahan pewarna merah terbalik lalu tumpah,” katanya dipetik laporan Kosmo siaran 30 September 2021.
Tambah beliau yang juga mantan Ketua Kampung Pasir, pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan bomba telah melakukan pemeriksaan ke atas kilang tersebut.
Katanya lagi, kerja-kerja membersihkan kesan tumpahan itu perlu dilakukan segera bagi elak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kempas, Mohd Yazid Abdul Rahman berkata pihaknya telah melakukan pemantauan di kawasan terlibat dan banjir air merah itu telah surut dalam tempoh beberapa jam.
Ujar beliau,
setakat ini tiada masalah lain yang timbul serta sebarang kemalangan jiwa
dilaporkan dan penduduk terlibat juga tidak
dipindahkan ke kawasan lain. - KitaReporters