Berita Terkini| Kerana dibaling kerusi, lelaki serang rakan sekampung! Guna besi pemotong sawit!
Published byBesi pemotong sawit dipercayai digunakan oleh suspek untuk mencederakan rakannya dalam kejadian di Negeri Sembilan. - Kredit foto: Ihsan PDRM
SEORANG lelaki berusia 22 tahun mencederakan rakan sekampungnya dengan besi pemotong sawit dalam kejadian kira-kira 6.30 petang pada 17 Julai 2021 di Jempol, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata suspek bertindak demikian setelah dipercayai tidak berpuas hati kerana dibaling serpihan kerusi plastik ketika sedang menunggang motosikal.
“Terdahulu, berlokasi di Felcra Rompin (B) pada 16 Julai 2021 rakan suspek yang juga berusia 22 tahun dikatakan membaling serpihan kerusi kepadanya.
“Tidak puas hati diperlakukan begitu, keesokan harinya suspek berjumpa rakannya itu yang sedang duduk atas sebuah motosikal di tepi sebuah warung sambil membawa besi pemotong sawit.
“Sebelum menghayunkan besi pemotong berkenaan ke arah mangsa, suspek dalam nada marah bertanya kepada mangsa ‘kau tak puas hati apa dengan aku’.
“Rakannya itu sempat menahan dengan tangan kiri besi pemotong dihayunkan oleh suspek. Selepas bertindak demikan, suspek terus melarikan diri,” katanya yang dipetik laporan Harian Metro pada 18 Julai 2021.
Chang Hook berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Jempol dan doktor mengesahkan tangan kiri mangsa patah manakala suspek ditangkap oleh polis di rumahnya jam 9 malam pada hari kejadian.
Katanya lagi, polis turut merampas besi pemotong buah sawit digunakan dalam kejadian dan
kes disiasat
mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - KitaReporters