KEMENTERIAN Kewangan (MoF) akan mengumumkan Penyata Prabelanjawan 2022 buat kali pertama dalam masa terdekat bagi merangka kriteria perbelanjaan negara sebagai persiapan untuk pembentangan Belanjawan 2022 yang dijangka akhir Oktober 2021 ini.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MoF akan menjemput semua pihak yang berkepentingan untuk memberikan input masing-masing.

“Ini adalah belanjawan yang penting dan bukan sahaja dari segi bantuan tetapi dari segi panduan kepada ekonomi Malaysia untuk kembali pulih.

“Kami akan merangka beberapa kriteria, dan salah satunya ialah kebajikan. Jemputan akan dikeluarkan secepat mungkin. Insya-Allah dalam minggu ini, jika boleh, apabila saya mula bekerja esok,” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette pada Isnin, 30 Ogos 2021.

Beliau berkata, selain Belanjawan 2022, kerajaan akan turut membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen.

Mengenai sama ada dasar-dasar kerajaan terdahulu akan diteruskan, Tengku Zafrul berkata dasar yang baik akan diteruskan tetapi pada masa sama mengambil kira perkembangan dunia semasa dan ekonomi Malaysia yang mempunyai ciri-ciri yang dinamik. - KitaReporters



0
0
0
0
0

Copy Link: