Tangkap layar video menunjukkan seorang lelaki di Sungai Bernam sebelum tenggelam dan dihanyutkan oleh arus. - Kredit foto: Gambar tular


SEORANG lelaki warga emas berusia 75 tahun dikhuatiri lemas sewaktu sedang mandi sungai berhampiran jeti di Pekan Sabak Bernam dalam kejadian kira-kira 6.45 petang pada 18 Ogos 2021.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata mangsa dipercayai berenang ke tengah sungai dan sebelum tenggelam.

“Hasil siasatan dan temu bual dengan orang awam yang berada di jeti berkenaan ketika kejadian, mangsa ada memaklumkan ingin mandi sungai sebelum kemudiannya tanggalkan baju serta selipar lalu terjun ke dalam sungai.

“Mangsa juga memberitahu pandai berenang dan ketika ditanya saksi, dia memaklumkan keadaannya baik. Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai berenang di tengah sungai selama 30 minit tiba-tiba tenggelam.

“Temu bual dengan anak perempuan mangsa mengesahkan lelaki itu adalah bapanya selepas mengecam baju dan selipar yang ditinggalkan,” katanya dipetik daripada laporan Harian Metro pada 19 Ogos 2021.

Tambah Agus Salim berkata, pasukan bomba bersama polis giat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan turut dibantu oleh nelayan-nelayan. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.57 petang.

Beliau berkata, sepasukan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Shah Alam dan Pelabuhan Klang serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Sabak Bernam telah dikejarkan lokasi untuk Ops SAR. KitaReporters


0
0
1
0
0

Copy Link: