Berita Terkini| MIROS, MOT rangka pelan turunkan kadar nahas motosikal! 20% babitkan motosikal!
Published byINSTITUT Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kini bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi merangka satu pelan untuk menurunkan kadar kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dalam tempoh 10 tahun.
Pengarah Pusat Penyelidikan Perubahan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya MIROS Azhar Hamzah berkata, secara purata 20 peratus daripada 500,000 kemalangan yang dilaporkan setiap tahun membabitkan kemalangan motosikal.
“Sejak 20 tahun lepas, lebih 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya terdiri daripada penunggang motosikal dengan 45 peratus mangsa dalam lingkungan umur 16 hingga 30 tahun.
“Dalam kemalangan motosikal, penunggang memainkan peranan yang paling penting, tidak kira dalam apa jua persekitaran dan kenderaan yang mereka naiki,” katanya seperti dipetik oleh Bernama, Jumaat, 10 September 2021.
Azhar berkata kemalangan motosikal biasanya berlaku di jalan-jalan utama dengan 66 peratus di bahagian jalan yang lurus, 27.5 peratus perlanggaran di sudut atau tepi jalan, 28 peratus melibatkan kereta dan 25 peratus melibatkan satu kenderaan. - KitaReporters