BIAR BETUL... ADA UNSUR BURUH PAKSAAN DI MALAYSIA?
Published byBENARKAH di Malaysia ada buruh paksaan? Sehubungan itu, semua pihak industri diseru menyediakan Akta Pematuhan Sosial dalam usaha membendung pelanggaran piawaian dan perundangan perburuhan terhadap isu berkaitan kebajikan di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran (tengah) bersalam dengan Ahli Majlis Politik Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Sally Behrhotst ketika menghadiri Majlis Seisi Town Hall bersama persatuan dan syarikat pengeluar sarung tangan getah di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya baru-baru ini.
Baru-baru ini, Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat mengumumkan telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Pegangan kepada lima produk berlainan yang diimport dari lima negara setelah disyaki menggunakan buruh paksaan.
Sekatan tersebut turut membabitkan import sarung tangan getah pakai buang oleh sebuah syarikat tempatan atas alasan terbabit dengan unsur buruh paksaan.
Syarikat yang dipersoalkan itu telah disiasat oleh kementerian dan mengaku salah di mahkamah pada Februari lalu dan dikenakan hukuman denda.
Ekoran itu, dalam satu Sesi Town Hall bersama pihak persatuan dan syarikat pengeluar sarung tangan getah, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran, berkata kementerian akan membantu pihak industri bagi menyediakan akta itu susulan tindakan telah diambil terhadap sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah yang menggunakan unsur buruh paksaan.
Katanya, Audit Pematuhan Sosial itu telah diperkenalkan sejak 1930 dan ia membolehkan semua majikan mematuhi standard dan undang-udang yang ditetapkan selain laporan audit itu mampu menjawab tuduhan lain pada masa akan datang.
Menurut beliau, walaupun Audit Pematuhan Sosial itu akan dikuatkuasakan oleh kerajaan bermula 2021,
pihak industri digalakkan menyediakan perlaksanaan itu bermula dari sekarang.
"Perkara itu telah dibincangkan pada tahun lalu bersama pihak industri termasuk memberi amaran ke atas kesan yang bakal berlaku sekiranya pelanggaran ke atas perkara itu.
"Bagi membantu memahami Audit Pematuhan Sosial itu dengan lebih jelas, kementerian akan menemui dan berbincang bersama persatuan peniaga di Amerika Syarikat dalam jangka masa terdekat.
"Audit Pematuhan Sosial itu sangat penting kerana ia dapat mengelak berlakunya penggunaan unsur buruh paksaan seperti yang berlaku pada sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah," katanya.
Kementerian Sumber Manusia, katanya, komited dan mengambil langkah sewajarnya dalam mendidik orang ramai mengenai kesan buruk buruh paksaan serta memperjuangkan peningkatan hak pekerja.
Antara langkah yang diambil secara berterusan adalah pemeriksaan secara aktif unsur buruh paksaan oleh Jabatan Buruh di setiap negeri.
Selain itu, kementerian mendidik majikan dan pekerja mematuhi undang-undang buruh di Malaysia termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.