UTUSAN KEKAL BEROPERASI, RAYU PEMBACA TERUS SOKONG
Published byPENGERUSI Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. (Kumpulan Utusan), Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir hari ini menegaskan pengurusan tidak berminat untuk menutup operasi dan menghentikan penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! namun merayu kepada pembaca setia dan juga orang Melayu untuk terus memberikan sokongan.
Sambil menyatakan pengurusan kanan dan ketua-ketua jabatan Kumpulan Utusan ada membincangkan mengenai perkara (menutup operasi) tersebut, namun ia hanya sebagai salah satu cadangan jika keadaan memerlukan.
"Namun sampai ke saat ini, saya amat optimistik untuk melihat operasi Kumpulan Utusan diteruskan walaupun kita mempunyai kekangan di mana kerugian setiap hari adalah sekitar RM2 juta hingga RM3 juta.
"Apa pun, pihak pengurusan sudah membuat keputusan termasuk mengunjur kemampuan Kumpulan Utusan untuk kembali ke landasan yang lebih baik sehingga September 2020. Untuk itu, saya mohon tuan-tuan dan puan-puan untuk terus memberikan sokongan agar kita dapat melihat kembali kegemilangan akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan mendapat jualan yang diinginkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada lebih 300 kakitangan Kumpulan Utusan termasuk wartawan dan jurufoto dan kakitangan pengkeranian di Dewan Besar Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur hari ini.
Kakitangan Kumpulan Utusan sehingga kini masih belum menerima gaji bulanan sejak dari Jun lepas dan yang terakhir, memorandum pekeliling Jabatan Sumber Manusia menyatakan pendahuluan sebanyak maksimum RM2,000 akan diberikan malam ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abd. Aziz turut berkata, jika ada usahawan yang ingin memilik Kumpulan Utusan, beliau dan UMNO rela melepaskan saham majoriti yang dipegang namun perlu memastikan hal ehwal dan kebajikan pekerja terjamin.
"Jika esok, tiba-tiba kata, ada orang minat nak beli, saya sanggup. Saya memang sudah (tandatangan) pun surat pemindahan saham siap-siap. Saya tak ada masalah," tegasnya.
Sehubungan itu, sebagai langkah jangka pendek dalam mengembalikan pendapatan syarikat, beliau mengumumkan untuk menaikkan harga kedua-dua akhbar terbitan Kumpulan Utusan.
Menurut beliau, Utusan Malaysia akan dinaikkan dari RM1.50 ke RM2, manakala Kosmo! akan dinaikkan dari RM1 ke RM1.50.
Eksesais berkenaan kata beliau, mampu untuk mengurangkan bebanan kerugian harian dan sedikit sebanyak dapat menampung kos gaji pekerja.