Gambar hiasan... Iklan jualan kambing yang dilihat mangsa Facebook dipercayai tidak wujud. - Kredit foto: ternakankambing.com


TERTARIK dengan iklan jualan kambing dalam Facebook pada 13 Julai 2021, seorang pemandu lori berusia 30 tahun dari Temerloh, Pahang alami kerugian RM6,800 dipercayai ditipu sewaktu urusan pembelian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa menghubungi penjual melalui nombor telefon tertera pada iklan setelah berminat membeli tiga ekor kambing dengan harga ditawarkan RM2,800.

“Sebagai tanda persetujuan beli kampung itu, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan RM1,400 melalui pindahan wang ke akaun bank atas nama sebuah syarikat pada hari yang sama.

“Pada hari berikutnya, mangsa meminta bantuan adiknya melunaskan baki bayaran RM1,400 ke dalam akaun sama. Bagaimanapun, mangsa diminta membuat bayaran tambahan  RM4,000 sebagai kos proses.

“Belum mensyaki apa-apa ketika itu, mangsa akur dan membuat bayaran seperti diminta namun ke akaun bank atas nama seorang lelaki,” katanya ketika dipetik laporan Sinar Harian pada 16 Julai 2021.

Tambah Mohd Wazir, setelah mulai curiga kerana terlalu banyak proses urusan serta jumlah wang dibayar melebihi harga ditawarkan mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada 15 Julai 2021.

Katanya lagi, polis tidak menolak kemungkinan kambing diiklankan itu tidak wujud serta hanya sebagai taktik menipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - KitaReporters


 

0
0
0
0
0

Copy Link: