Berita Terkini| Bonnie raih pingat emas sulung negara! Powerlifting! Sukan Paralimpik Tokyo 2020
Published byBONNIE meraikan kejayaan memecahkan rekod Paralimpik dengan catatan baharu seberat 228kg untuk acara powerlifting bawah 72kg. - Foto Kredit: Majlis Sukan Negara
ATLET Paralimpik Negara, Bonnie Bunyau Gustin menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menerusi acara powerlifting bawah 72 kilogram (kg).
Lebih membanggakan, Bonnie yang kini berusia 22 tahun melakukannya menerusi catatan rekod baharu Sukan Paralimpik dengan bebanan angkatan seberat 228 kilogram (kg) pada percubaan ketiga dalam aksi final di Tokyo International Forum, Jepun pada Sabtu, 28 Ogos 2021.
Memetik laporan Kosmo, atlet kelahiran Sarawak itu memadam rekod lama Paralimpik, 227kg milik Mohsin Rasool dari Iraq yang melakukannya pada edisi Rio 2016.
Bagaimanapun, hasrat Bonnie untuk memecahkan rekod dunia 230kg yang dilakukannya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun 2021 lalu tidak kesampaian selepas gagal mengangkat bebanan angkatan 231kg dalam percubaan keempat.
Pingat perak acara itu dimenangi atlet para Mesir, Mahmoud Attia dengan angkatan terbaik 191kg, manakala gangsa menjadi milik Micky Yule dari Great Britain (182kg)
Untuk rekod, Bonnie merupakan lima daripada atlet negara yang disenarai sebagai sandaran meraih pingat emas dalam sukan berkenaan bersama atlet olahraga Mohd. Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly selain pemain badminton paralimpik, Cheah Leik Hou serta atlet memanah S. Suresh. - KitaReporters