Berita Terkini| Warga emas maut dipercayai dikelar suami sendiri! Ditemukan terbaring oleh cucu
Published byGambar hiasan... Polis turut merampas senjata dipercayai digunakan dalam kejadian dan menahan suami mangsa bagi bantu siasatan. - Kredit foto: www.123rf.com
SEORANG wanita warga emas berusia 74 tahun ditemukan mati dengan kesan kelar pada leher disyaki dibunuh oleh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah dua tingkat di Taman Desa Cahaya, Gopeng pada 9 Ogos 2021.
Mangsa yang lumpuh separuh badan dan tinggal berdua bersama suaminya berusia 72 tahun ditemukan terbaring di atas katil dalam sebuah bilik tingkat bawah oleh cucu lelakinya sekitar jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata terdahulu cucu mangsa yang berusia 26 tahun menerima panggilan daripada datuknya memaklumkan mangsa telah meninggal dunia.
“Cucunya dengan ditemani ibu dan adik telah pergi ke rumah terbabit dan menemui mangsa sudah tidak sedarkan diri dengan kesan kelar pada leher.
“Pihak polis bergegas ke lokasi sejurus mendapat maklumat kejadian dan hasil pemeriksaan tidak temui sebarang kesan pecah masuk di tempat kejadian.
“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa menjumpai kesan kelar pada bahagian leher selain sebilah pisau turut ditemui di tepi mangsa dan dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dipetik laporan Sinar Harian pada 9 Ogos 2021.
Ujar Hasron Nazri lagi, suami mangsa telah ditahan oleh polis bagi bantu siasatan dan merampas senjata tersebut bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tambahnya,
bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan di Hospital Raja Permaisuri
Bainun (HRPB), Ipoh dan setakat ini motif sebenar kejadian masih dalam siasatan. - KitaReporters