Gambar hiasan...Tindakan tegas diambil kepada pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam pesta hiburan di balai polis.


KETUA Balai Polis (OCS) berpangkat Sub-Inspektor yang dicekup kerana berpesta bersama tiga anggota serta empat wanita orang awam di dalam balai polis di daerah Kajang, Selangor pada 21 Julai 2021 didapati positif  ganja.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata keputusan itu berdasarkan ujian air kencing awal dijalankan ke atas pegawai polis tersebut.

"Sampel air kencing ke atas suspek akan diuji sekali lagi, jika didapati positif juga, dia akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang. Tiada sebarang kompromi.

“Polis Daerah Kajang juga akan menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan unsur jenayah membabitkan empat anggota polis dan empat orang awam terlibat.

“JIPS akan menyiasat keempat-empat polis terbabit kerana salah laku serta pelanggaran peraturan penjawat awam. Tindakan akan diambil tanpa pilih kasih, mereka juga ditahan tugas,” katanya yang dipetik oleh laporan Berita Harian, 22 Julai 2021.

Terdahulu, media melaporkan seorang Ketua Balai Polis di daerah Kajang bersama tiga anggota dan empat wanita orang awam ditahan JIPS ketika sedang berhibur dalam bilik khas di balai polis tersebut

Serbuan dijalankan oleh JIPS Bukit Aman sebahagian daripada mereka dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum. KitaReporters


 

1
0
0
0
0

Copy Link: