Berita Terkini| Pahang buka sektor pelancongan! Berperingkat-peringkat! Bermula Bukit Fraser!
Published byGambar hiasan… Bukit Fraser dan Pulau Tioman antara lokasi awal akan dibuka setelah sektor pelancongan dibenarkan di Pahang. - Kredit foto: Internet
BUKIT Fraser yang terletak di Raub, Pahang akan menjadi destinasi pertama dibuka kepada pengunjung setelah aktiviti gelembung pelancongan dibenarkan beroperasi kelak di negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata kerajaan negeri sudah bersedia membuka sektor tersebut secara berperingkat-peringkat mulai awal Ogos 2021.
“Sektor pelancongan di Pahang bakal dibuka setelah memenuhi kriteria ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sebagai permulaan, gelembung pelancongan akan dimulakan di Bukit Fraser di Raub sebelum disusuli Pulau Tioman di Rompin.
“Semua prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pembukaan sektor pelancongan di dua lokasi ini akan dijadikan sebagai rujukan bagi pembukaan sektor pelancongan di lokasi popular lain yang terdapat di Pahang ini.
“Kita akan buka sektor pelancongan secara berperingkat-peringkat, selepas itu pula disusuli kawasan lain seperti Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Taman Negara Kuala Tahan dan Taman Negeri yang lain,” katanya dipetik oleh laporan Utusan Malaysia, 24 Julai 2021.
Dalam perkembangan
berkaitan, Mohd Sharkar memaklumkan semua pemain industri dan penduduk di
kawasan Bukit Fraser dan Pulau Tioman dijangka selesai menerima dos kedua
vaksin Covid-19 masing-masing pada minggu ini. - KitaReporters