Berita Terkini| Penyu agar bertelur di Pantai Batu Buruk! Kembali setelah 16 tahun ‘merajuk’!
Published byAktivis pemuliharaan penyu mengutip telur penyu agar yang bertelur di Pantai Batu Buruk sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu. - Kredit foto: Bernama
SEEKOR penyu agar betina didapati bertelur di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 17 Ogos 2021 selepas 16 tahun reptilia berkenaan ‘merajuk’ dan tidak mendarat di pantai peranginan itu.
Kehadiran penyu dianggarkan berusia 15 hingga 18 tahun itu dilihat mendarat di kawasan berhampiran Hotel Primula kira-kira jam 6.50 petang sebelum turun semula ke laut sekitar jam 8 malam selepas selesai bertelur.
Menurut seorang saksi yang juga Pengarah Politeknik Besut, Che Muktar Bakar, 57, penyu agar tersebut dilihatnya sewaktu sedang berjogging di kawasan persisir pantai berkenaan.
“Teruja juga apabila tiba-tiba melihat penyu naik ke darat, perlahan-lahan menuju ke arah pantai lalu mengorek pasir untuk bertelur.
“Saya sempat melihat proses penyu itu bertelur daripada jauh sehingga waktu maghrib (7.21 petang) dan difahamkan kembali semula ke laut lebih kurang setengah jam selepas itu,” katanya dipetik daripada laporan Kosmo pada 17 Ogos 2021.
Aktivis pemuliharaan penyu, Rani Awang berkata proses mengutip hampir 50 biji telur penyu agar berkenaan selesai dijalankan jam 11 malam dan diserahkan kepada pegawai Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.
‘Saya tidak menolak kemungkinan faktor kualiti pantai mendorong penyu kembali bertelur di Pantai Batu Buruk memandangkan kini kawasan ini semakin bersih serta tenang tanpa kunjungan orang ramai ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya. - KitaReporters