Gambar hiasan... Mangsa tertarik dengan iklan kucing baka British Short Hair yang ditawarkan pada harga murah dalam media sosial. - Kredit foto: verst.com.my


SEORANG wanita berusia 24 tahun yang membeli seekor kucing baka British Short Hair selepas tertarik dengan iklan haiwan itu dalam media sosial kerugian RM3,230 pada 2 Ogos 2021 dipercayai akibat ditipu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata terdahulu mangsa melihat iklan berkaitan kira-kira jam 1.30 petang pada 2 Ogos dan kemudiannya menghubungi penjual melalui WhatsApp.

“Mangsa nyatakan hasrat membeli kucing itu yang diiklankan dengan harga murah. Penjual memaklumkan terdapat dua ekor kucing baka itu yang akan dijual dengan harga RM240 hingga RM290.

“Mangsa bersetuju membelinya lalu membuat pembayaran seperti diminta. Mangsa melakukan empat pemindahan secara dalam talian sebanyak RM3,230 bagi pelbagai urusan berkaitan haiwan itu.

“Setelah bayaran dibuat, penjual yakni suspek salahkan mangsa kerana melakukan pemindahan wang RM1,900 sebanyak dua kali. Mangsa mulai curiga lalu tidak mahu teruskan urusan dan minta wangnya dikembalikan,” katanya dipetik Sinar Harian, 3 Ogos 2021.

Tambah beliau, suspek bukan sahaja enggan memulangkannya tetapi turut meminta mangsa membuat bayaran terlebih dahulu bagi urusan pembatalan.

Katanya lagi, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 240 Kanun Keseksaan kerana menipu. - KitaReporters


0
1
0
0
0

Copy Link: