ISTIADAT Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangi Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dijalankan pada 21 Ogos 2021 di Istana Negara. - Kredit foto: Utusan Malaysia.


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangi Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dijalankan pada Sabtu, 21 Ogos 2021 di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, selaku Ketua Utama Negara baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara.

“Baginda berharap kemelut politik dapat diakhiri segera dan semua Ahli Dewan Rakyat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19, demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Istana Negara.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan Kerajaan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat," menurut kenyataan itu lagi. - KitaReporters



0
0
0
0
0

Copy Link: