Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyertai mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia secara maya bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah. - Kredit foto: Pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah 


SABAH dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia tahun ini yang akan disambut pada 16 September 2021.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sambutan secara sederhana itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP)

Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang dilaksanakan secara maya pada Selasa, 6 Julai 2021.

"Bagi pihak kabinet negeri, kami berterima kasih dan menghargai keputusan kerajaan Pusat atas kepercayaan diberikan untuk Sabah sekali lagi menganjurkan program ini," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu pada Rabu, 7 Julai 2021.

Bung Moktar yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia peringkat negeri, berkata berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara, sambutan akan diadakan dengan pematuhan ketat SOP.

Katanya lagi, majlis berkenaan akan berlangsung di tempat tertutup dengan penjarakan sosial, kehadiran terhad dianggarkan sekitar 500 orang, bagaimanapun bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di negeri ini.

Pada masa sama, beberapa siri mesyuarat jawatankuasa pelaksana di peringkat negeri bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan telah diadakan bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar.

"Pelbagai acara telah disusun termasuk majlis tahlil, persembahan koir, majlis memotong kek dan tayangan montaj.

"Selaras dengan tema tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, satu persembahan khas daripada artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah bertemakan 'Malaysia Prihatin' turut dipersembahkan bagi mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menangani wabak Covid-19," katanya. - KitaReporters


Pelajar GiatMARA Tawau menyertai perbarisan sempena Hari Malaysia Peringkat Perbandaran Tawau pada sambutan Hari Malaysia 2019. - Kredit foto: Bernama

0
0
0
0
0

Copy Link: