Kanak-kanak lelaki maut dipatuk oleh ular dalam kejadian di Rembau, Negeri Sembilan. - Kredit foto: Media sosial


SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 17 bulan maut selepas empat jam dipatuk oleh ular dalam kejadian di rumah keluarganya di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir, Rembau, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam pada 23 Julai 2021 itu, mangsa, Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz,  disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 1 pagi di Hospital Rembau ketika sedang menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata kejadian berlaku di bilik tidur utama sewaktu mangsa sedang  bermain dengan abangnya yang berusia tiga tahun.

"Ibunya yang turut berada dalam bilik itu tiba-tiba mendengar mangsa menjerit dan terlihat seekor ular masuk ke dalam lubang yang ada di bilik tersebut.

"Sejurus selepas itu, ibu mangsa memeriksa keadaan anaknya lalu melihat adanya kesan patukan ular pada tapak tangan kiri mangsa dan terus membawa anak bongsunya ke Hospital Rembau," katanya dipetik oleh laporan Utusan Malaysia pada 24 Julai 2021.

Tambah beliau, selepas lebih kurang empat jam kejadian berlaku ibu mangsa dimaklumkan oleh pihak hospital mangsa telah meninggal dunia.

Katanya lagi, laporan polis dibuat ibu mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - KitaReporters 


0
0
1
0
0

Copy Link: