Berita Terkini| Cadangan larang transgender masuki masjid di WP diteliti! Ikut langkah Perlis!
Published byGambar hiasan... Larangan golongan transgender memasuki masjid bagi menjaga kesucian rumah ibadat dan agama. - Kredit foto: lashpackermemories.com
CADANGAN untuk mengenakan larangan terhadap golongan transgender memasuki masjid di Wilayah Persekutuan seperti dilaksanakan di Perlis kini sedang diteliti kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata larangan itu wajar bagi menjaga kesucian masjid dan menghindari kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan dilakukan pihak berkuasa agama di Perlis adalah wajar dan boleh dicontohi kerana kalau golongan ini masuk ke dalam masjid, mereka lelaki tetapi kadang-kadang ada yang pakai tudung jadi itu sangat tidak sesuai.
"Sekiranya golongan ini masuk ke sebelah Muslimat pula, tentunya mengganggu privasi wanita. Saya bercakap dalam konteks Wilayah Persekutuan kerana itu dalam bidang kuasa kita, negeri lain terpulang kepada pihak berkuasa agama masing-masing.
"Soal hendak menggalakkan negeri-negeri lain ikut jejak seperti dilakukan di Perlis, kita kena tengok kepada keseriusan kes berlaku di negeri itu,” katanya ketika dipetik laporan Berita Harian, 24 September 2021.
Tambah beliau, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat atau laporan berhubung 'pencerobohan' golongan transgender seperti mak nyah di masjid.
Ujarnya lagi, pihaknya percaya tindakan larangan dilakukan di Perlis adalah sebagai satu langkah pencegahan yang wajar.
Untuk info, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini menyatakan golongan 'mukhannath' atau lebih dikenali transgender diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina kerana boleh mengganggu suasana ibadat di masjid. - KitaReporters