Anggota PGA7 menemui Pati yang diikat pada pokok di kawasan hutan di Kampung Rahmat, Rantau Panjang sewaktu jalankan rondaan. - Kredit foto: Ihsan PGA7


DUA lelaki berusia 32 dan 33 tahun dijumpai terikat pada sebatang pokok di kawasan hutan di Kampung Rahmat, Rantau Panjang dalam kejadian kira-kira 10.30 malam, 27 September 2021.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am, Superitendan Azhari Nusi berkata lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar itu ditemui anggota bertugas yang sedang membuat rondaan di kawasan itu.

“Melihat kelibat dua lelaki diikat pada pokok dalam keadaan gelap gelita, anggota kemudiannya hampiri mereka lalu membebaskan kedua-duanya.

“Anggota meminta kemukakan dokumen pengenalan diri bagi tujuan pemeriksaan namun mereka gagal kemukakannya. Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan tidak menemui sebarang barangan salah.

“Berdasarkan soal siasat, mereka maklumkan kesemua barangan berada dengan seorang lelaki yang tidak dapat dipastikan butirannya dan disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan Pati,” katanya dipetik laporan Harian Metro, 28 September 2021.

Tambah beliau, kedua-dua lelaki berkenaan dibawa ke Balai Polis Lubok Stol bagi siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Negeri Kelantan.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 dan kedua-dua Pati itu dipercayai ditipu sindiket yang berjanji membawa mereka pulang ke Myanmar melalui Thailand selepas bekerja di Kelantan dalam tempoh tertentu.

“Individu sebenar yang mengikat mereka pada pokok belum dapat dikenal pasti susulan masalah komunikasi memandangkan kedua-duanya tidak dapat berbahasa Melayu,” ujarnya. - KitaReporters

 

 

12
13
0
7
0

Copy Link: