Abd Jalil Hassan menunjukkan kad UNHCR yang diperolehi Nur Sajat atau nama samaran terbaharunya, Bella di Thailand. - Kredit foto: Utusan Malaysia


POLIS mengesahkan usahawan kosmetik kontroversi iaitu Nur Sajat memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dipohonnya di Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihak Imigresen Malaysia sudah membatalkan pemilikan passport antarabangsa Nur Sajat atau nama sebenarnya  Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

“Nur Sajat yang ditahan di Thailand telah memohon kad UNHCR di negara tersebut dan dalam proses permohonan itu akhirnya dia mendapat status pelarian terbabit.

“Dia telah menukar nama samarannya kepada Bella dan sedang menunggu tawaran pihak negara ketiga bagi membantunya berpindah ke negara tersebut.

“Kes usahawan ini sebenarnya kecil sahaja membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis iaitu menghalang penjawat awam, sebab itu dia dinasihatkan pulang,” katanya dipetik siaran Utusan Malaysia bertarikh 24 September 2021.

Tambah Abd Jalil, polis akan teruskan proses bawa pulang Nur Sajat kerana Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan individu dikehendaki atau penjenayah buruan dibawa pulang.

Katanya lagi, permohonan berkaitan akan dibuat dalam tempoh masa terdekat namun bergantung kepada negara berkenaan sama ada memenuhi permintaan Malaysia atau sebaliknya.

Beliau menambah, pihak keluarga Nur Sajat dapat membantu menasihatkan usahawan berkenaan supaya pulang ke tanah air bagi hadapi pertuduhan di mahkamah syariah yang tidak seberat mana. - KitaReporters

10
14
0
13
0

Copy Link: