Berita Terkini| Jumlah kes denggi di Kedah berkurangan! Penurunan 41.2% bagi Januari-Julai 2021!
Published byGambar hiasan... Petugas kesihatan menjalankan kerja-kerja semburan kabus bagi membasmi wabak denggi. - Kredit foto: Astro Awani
JABATAN Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) merekodkan sebanyak 343 kes denggi di negeri berkenaan sejak Januari hingga 31 Julai 2021 berbanding 583 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu (2020).
Pengarah JKNK, Dr Othman Warijo berkata penurunan sebanyak 240 kes itu bersamaan 41.2 peratus dan tiada kes kematian denggi dilaporkan setakat ini.
“Terdapat sembilan daerah menunjukkan penurunan kes demam denggi berbanding tempoh sama pada tahun 2020 iaitu di Padang Terap, Pendang, Kubang Pasu, Sik, Bandar Baharu, Baling, Kulim, Kota Setar, dan Kuala Muda.
“Manakala, dua daerah pula merekodkan jumlah kes yang sama seperti tahun lalu iaitu Yan dan Langkawi dengan masing-masing dua kes,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia, 7 Ogos 2021.
Tambah beliau, setakat ini juga terdapat 14 lokaliti wabak denggi dilaporkan di negeri berkenaan berbanding 21 dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.
Katanya
lagi, sehingga 31 Julai 2021 juga pihak jabatan telah melakukan pemeriksaan ke atas 192,097 premis
dan mengeluarkan kompaun kepada 1,776 pemilik premis kerana didapati terdapat
pembiakan nyamuk Aedes. - KitaReporters