PEMOHON yang tidak berjaya mendapat tempat di Universiti Awam (UA) boleh mengemukakan rayuan selepas 11 hari hebahan semakan keputusan kemasukan ke UA sesi 2021/2022 yang diumumkan pada Rabu, 15 September 2021 lepas.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin berkata, rayuan boleh dikemukakan menerusi Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar (UPUOnline).

Pemohon hanya boleh mengemukakan empat pilihan rayuan dan program bertemu duga atau ujian hanya untuk pilihan satu dan dua. 

“Saya juga nak ingatkan kepada calon, permohonan kali ini agak sengit, ramai yang dapat keputusan cemerlang pada peringkat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) asasi dan matrikulasi tidak mendapat tempat berdasarkan pilihan program yang sengit persaingannya,” katanya seperti dipetik Bernama, Ahad, 19 September 2021.

Wahi berkata, menerusi rayuan, pelajar memiliki peluang untuk mendapat tempat, dan menasihati calon-calon untuk tidak memilih semula 12 pilihan kursus yang dipohon sebelumnya memandangkan program tersebut berkemungkinan telah penuh.

“Jadi calon-calon boleh memilih program yang bersesuaian dengan keputusan dalam empat pilihan rayuan itu,” katanya.

Selain itu, calon yang ingin membuat permohonan baharu atau terlepas membuat permohonan menerusi UPUOnline, boleh mengambil maklum tentang permohonan yang dibuka oleh UA seperti Universiti Teknologi MARA dan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang membuka permohonan pada semester kedua pada Mac 2022. - KitaReporters


11
13
0
9
0

Copy Link: