Berita Terkini| Ketukan pintu misteri di Selangor menghantui! Penduduk dakwa kembali diganggu!

Published by
KitaReporters

 

 

Rohana  dari Batu 11, Jalan Bernam, Tanjong Karang menunjukkan pintu bilik tidurnya yang diketuk kuat. Kredit foto: Harian Metro


Misteri bunyi ketukan pintu yang pernah berlaku di beberapa buah daerah di Selangor sekitar akhir tahun 2020 lalu  kini kembali menghantui apabila beberapa penduduk mendakwa diganggu kejadian sama.

 

Memetik laporan Harian Metro pada 10 Ogos 2021, seorang suri rumah, Rohana Ariffin, 54, berkata kejadian terbaharu itu berlaku ketika dia bersendirian di  rumahnya di Batu 11, Jalan Bernam, Tanjong Karang.

 

“Kejadian berlaku kira-kira jam 7.50 malam, 9 Ogos 2021 sewaktu suami, Mohd Subekhi Kasiman,56, berada di surau. Sebelum itu, saya ke belakang rumah sidai pakaian lalu masuk ke dalam bilik untuk berehat.

 

“Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi ketukan dari luar pintu bilik tidur yang begitu kuat oleh seseorang seolah-olah dalam keadaan marah.

 

“Saya yang menggigil ketakutan hanya mampu mendiamkan diri sehinggalah bunyi hilang dan sementara menunggu suami pulang,” katanya.

 

Bagi seorang lagi penduduk, Nuraziela Masri, 30, berkata kejadian sama dialami adik lelakinya, Fahmi,29,  yang tinggal di Taman Rias Mas sekitar jam 1 pagi kira-kira dua minggu lalu.

 

“Sewaktu kejadian, dia bersama isteri dan dua anak sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi ketukan yang begitu kuat pada pintu dapur belakang.

 

"Apabila dia menjenguk pintu belakang terdengar pula ketukan pada pintu gelongsor di hadapan. Gangguan  berlaku tidak sampai tempoh dua minit dan setelah diperiksa di luar rumah didapati tiada sesiapa,” ujarnya.-KitaReporters

0
3
0
0
0

Copy Link: