Keadaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Labis yang terkawal kerana penerima yang mematuhi masa kehadiran yang ditetapkan. 


PENANTIAN penduduk mukim Labis, Chaah dan Bekok di daerah Segamat untuk mendapat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 berhampiran kediaman mereka akhirnya menjadi kenyataan apabila PPV Labis memulakan operasinya pada 15 Julai 2021.

PPV Labis yang beroperasi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis dijangka memberi manfaat kepada lebih 13,000 penduduk di tiga mukim tersebut yang telah berdaftar sebagai penerima vaksin setakat ini dan jumlah tersebut dijangka bertambah memandangkan usaha mendaftar orang ramai sebagai penerima vaksin masih berjalan. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Segamat

Petugas PPV Labis sedang menyemak dokumen salah seorang penerima vaksin Covid-19 yang hadir untuk mendapatkan suntikan.


Salah seorang penerima vaksin Covid-19 yang mendapatkan suntikan di PPV Labis.


Pengerusi Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) daerah Segamat, Nasri Md. Ali berkata, PPV Labis merupakan PPV ketiga seumpama yang diwujudkan di daerah Segamat selepas PPV Taman Yayasan dan PPV Jalan Genuang sebelum ini. 

“PPV Labis yang akan beroperasi setiap hari mampu memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada 600 hingga 800 penerima berdaftar sehari berdasarkan janji temu serta bergantung kepada jumlah bekalan vaksin.

Jumlah penduduk yang telah berdaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 Zon Segamat Selatan setakat ini adalah kira-kira 13,000 orang di mana Mukim Labis seramai 9,000 orang, Chaah (3,000) dan Bekok (1,200),” katanya. 

Dalam masa sama beliau berharap penerima vaksin Covid-19 yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di PPV Labis dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis 

Keselamatan Negara (MKN) serta datang mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan.


Seorang petugas PPV Labis membantu penerima vaksin yang berstatus orang kurang upaya (OKU)  mendaftar untuk mendapatkan suntikan.


Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, Mohd Azahar Ibrahim berkata, langkah 

kerajaan mewujudkan satu lagi PPV di Labis adalah bukti kesungguhan usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19 yang melanda negara selain dapat memudahkan lagi proses pemberian vaksin dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, sebelum ini penerima vaksin di kawasan zon Segamat Selatan terpaksa ke PPV Taman Yayasan  atau ke PPV Jalan Genuang malah terdapat juga dalam kalangan mereka yang diberi janji temu di PPV Persada Johor Bahru.


Suasana di dalam dewan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Labis pada hari pertama beroperasi


“Saya dimaklumkan sebelum ini terdapat penerima vaksin yang terpaksa menyewa teksi atau meminta bantuan rakan serta jiran untuk ke PPV Jalan Genuang mahupun Taman Yayasan semata-mata ingin mendapat suntikan Vaksin Covid-19.

“Saya harap penduduk di sini (Labis) menggunakan kemudahan yang ada dengan mendaftar segera untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya. - KitaReporters


Petugas kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas dihari pertama PPV Labis beroperasi.

4
1
0
0
0

Copy Link: