Gambar hiasan... Bekalan vaksin covid-19 diterima di Kelantan buat masa ini tidak mencukupi untuk membolehkan lebih ramai penerima terima suntikan. 


Kelantan tersenarai antara tiga negeri tercorot dari segi suntikan vaksin bagi dos kedua berikutan bekalan vaksin diterima tidak mencukupi berbanding permohonan dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Husin berkata kerajaan negeri memohon Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk tidak meminggirkan negeri itu dari segi agihan bekalan vaksin.

“Kelantan tercorot bukan kerana penduduk menolak vaksin atau tidak mendaftar dalam MySejahtera, sebaliknya berdepan situasi kekangan bekalan vaksin.

"Permohonan telah dibuat bagi mendapatkan satu juta dos vaksin sebulan namun setakat ini Kelantan hanya menerima 500,000 dos vaksin. Sehari hanya 25,000 dos suntikan vaksin sahaja mampu diberi kepada penerima.

“Kerajaan Negeri harap MOSTI dapat dengar rintihan kami sekali gus penuhi permintaan memandangkan kes Covid-19 di negeri ini semakin meningkat,” katanya dipetik daripada laporan Harian Metro pada 12 Ogos 2021.

Ujar Dr Izani lagi, rayuan berhubung permohonan bekalan vaksin telah dilakukan oleh pihaknya dan pihak MOSTI hanya mengiyakan perkara itu serta dimaklumkan hanya 700,000 dos vaksin akan diberikan pada Ogos 2021.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani memaklumkan peningkatan kes di Kelantan sehingga mencecah empat angka ekoran kegagalan rakyat Kelantan mematuhi prosedur operansi standard (SOP) yang ditetapkan. KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: