16 ANGGOTA POLIS 'KANTOI' DADAH DI PERAK

Published by
KitaReporters
PERINGATAN Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain agar setiap pegawai dan anggotanya tidak terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah nyata bukanlah omongan kosong. : KitaReporters.com

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain (dua dari kanan) melihat barang-barang kes dadah yang akan dilupuskan dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di Ipoh hari ini (Khamis, 21/11/2019).


Komitmen jitu beliau dalam menghapuskan najis dadah dalam kalangan warga PDRM itu terbukti apabila seramai 431 orang pelbagai pangkat di setiap jabatan telah diperiksa di seluruh Kontinjen Perak sejak 12 Ogos lalu menerusi Op Blue Devil.

Menurut Razarudin, daripada 431 orang yang telah diperiksa itu, seramai 16 pegawai dan anggota ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuk menagih dadah.

Katanya, enam orang daripadanya telah dituduh di mahkamah, manakala selebihnya masih dalam siasatan lanjut.

"Tangkapan ini dilakukan menerusi Op Blue Devil yang mana penyelia kepada pegawai dan anggota akan bertindak mengenal pasti mereka di bawah seliaannya sekiranya ada terbabit dalam penyalahgunaan dadah sebelum melakukan ujian saringan air kencing," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pelupusan Barang Kes Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak di Ipoh hari ini (Khamis, 21/11/2019).

Sementara itu, Razarudin berkata, pihaknya akan melupuskan sebanyak 251 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 880 liter cecair disyaki dadah bernilai RM714,047.41 yang dirampas di negeri itu sejak 2000 hingga 2019.

Katanya, pelulusan barang kes dadah itu membabitkan 3,096 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan yang merangkumi seramai 3,500 orang tangkapan.

Tambahnya, sebanyak 15 buah daerah terlibat dengan pelupusan dadah pada tahun ini termasuk Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Sungai Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah.

"Antara dadah yang akan dilupuskan ialah heroin seberat 3,418.5 gram (g), ganja (6,238g), syabu (1,149.8g), ketamin (1,179.5g), eramin 5 (256.7g) dan ekstasi (20.3g).

"Selain itu turut dirampas daun ketum dengan berat 239,418g, cecair ketum (867,342ml), ubat batuk (12,575 liter) dan cecair bahan kimia (71,505 liter)," katanya.

Tambah Razarudin, seramai 11,138 orang telah ditangkap di seluruh negeri bersabit kes dadah sejak awal tahun hingga Oktober lalu berbanding 9,468 tangkapan pada tahun sebelumnya. - KitaRerporters.com

8
0
0
0
0

Copy Link: