SEPANDAI-PANDAI TUPAI MELOMPAT, AKHIRNYA..
Published bySIA-SIA. Tindakan tujuh pelatih Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Sg. Ruan di Raub, Pahang yang bertindak melarikan diri dari pusat berkenaan baru-baru ini bukan sahaja sia-sia tetapi membawa padah. : KitaReporters.com
Ini kerana mereka sememangnya tidak akan dapat menyembunyikan diri apabila empat daripadanya telah berjaya ditahan dalam tempoh kira-kira 24 jam.
Mereka yang diberkas juga bakal berhadapan dengan tuduhan baharu apabila didapati turut mencuri motosikal penduduk.
Malah bagi tiga pelatih lagi yang masih diburu kini berada dalam keadaan takut, lapar dan kepenatan serta kesejukan dalam musim hujan pada masa ini.
Tujuh pelatih CCRC Sg. Ruan meloloskan diri daripada pusat berkenaan pada Sabtu (16/11/2019) lalu.
Ketua Polis daerah, Superintenden Kama Azural Mohamad berkata, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki dilakukan pada pukul 2.10 pagi, diikuti tangkapan kedua dan ketiga masing-masing melibatkan seorang lelaki pada pukul 2.20 pagi dan 9.25 pagi.
"Usaha giat dilakukan bagi mengesan tiga lagi pelatih, yang mana seramai tiga pegawai dan 13 anggota polis bersama 40 pegawai dan anggota daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan CCRC Sg. Ruan sedang mengesan pelatih berkenaan.
"Kita percaya mereka masih berada di daerah ini dan berdasarkan maklumat daripada pelatih ditangkap mereka dalam keadaan takut, lapar, penat dan tidak mempunyai duit," katanya di Raub pada Ahad (17/11/2019).
Salah seorang pelatih yang berjaya diberkas hari ini.
Sabtu (16/11/2019) lalu, seramai tujuh pelatih CCRC Sg. Ruan, Raub melarikan diri dipercayai melalui tingkap tandas asrama dan keluar melalui pagar belakang pusat berkenaan.
Menurut Kama Azural, empat pelatih yang diberkas hari ini ialah P. Suris, 39; Ooi Chuan Tat, 42; Mohd. Yunus Abu Bakar, 44, dan Johari Mohamad, 50.
Katanya, dalam tangkapan itu, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave warna hitam disyaki dicuri. - KitaReporters.com