Rumah dua tingkat di Kampung Selengkoh Tengah, Yan terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat oleh salah seorang penghuni rumah berkenaan. - Kredit foto: Ihsan bomba 


SEORANG lelaki dipercayai penagih dadah berusia 51 tahun ditahan oleh polis setelah bertindak membakar rumahnya sendiri di Kampung Selengkoh Tengah, Yan dalam kejadian pada 6 Ogos 2021.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata pihaknya menerima laporan kebakaran rumah dipercayai berunsur khianat pada jam 9.24 malam lalu bergegas ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan keterangan ibu lelaki berkenaan, sebelum kebakaran anaknya ada meminta pemetik api daripadanya sekitar jam 7.30 malam dalam keadaan mengamuk.

“Melihat keadaan anaknya begitu dan turut memarahinya, wanita berkenaan akhirnya memberi pemetik api kepada suspek. Sebaik mendapat barang dikehendaki, anaknya terus beredar.

“Bagaimanapun, wanita berkenaan mendakwa terlihat anaknya membakar sehelai kain dan diletakkan dalam almari berisi pakaian di tingkat atas rumah,” katanya dipetik laporan Harian Metro pada 7 Ogos 2021.

Tambah beliau, suspek  ditahan untuk siasatan lanjut dan reman dimohon mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 9.18 malam.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dan Guar Chempedak dikerah ke lokasi. Kebakaran membabitkan rumah dua tingkat yang musnah 70 peratus, operasi tamat jam 11.05 malam,” ujarnya. KitaReporters


 

0
1
0
0
0

Copy Link: