Pasukan HAZMAT bomba bersiap-sedia bagi menjalankan pemeriksaan dalam ambulans. - Kredit foto: Sinar Harian 


SEORANG petugas kesihatan meninggal dunia, manakala tiga lagi pengsan di dalam ambulans sebaik tiba di Hospital Port Dickson setelah kenderaan dinaiki dipercayai kebocoran gas ketika dalam perjalanan.

Dalam kejadian pada 22 Julai 2021 itu, tiga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, Chuah, Port Dickson terlebih dahulu membawa rakan setugas mereka yang berusia 29 tahun ke hospital setelah didapati pengsan.

Penolong Pengarah  Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata ketiga-tiga mereka yang berusia sekitar 30-an didapati tidak sedarkan diri manakala mangsa pengsan dikejarkan ke hospital disahkan meninggal dunia.

“Terdahulu, bomba terima maklumat berlaku kebocoran gas di klinik kesihatan tersebut jam 9.30 pagi dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan pasukan HAZMAT.

“Setelah pemeriksaan dijalankan, didapati tiada berlaku sebarang kebocoran. Pihak klinik memaklumkan seorang petugas rebah tiba-tiba selepas mengadu sakit dada sebelum tiga rakan setugas membawanya ke hospital dengan menaiki ambulans.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital  mereka yang duduk di belakang ambulans didapati tidak sedarkan diri,” katanya dipetik laporan Kosmo pada Khamis, 22 Julai 2021.

Tambah beliau, pihak hospital kemudiannya jalankan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa yang mengalami sakit dada meninggal dunia manakala tiga yang lain diberi rawatan lanjut. - KitaReporters


0
0
1
0
1

Copy Link: