KEPRIHATINAN dan kasih sayang Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap rakyat terserlah melangkaui sempadan negara apabila Seri Paduka Baginda berkenan menyajikan nasi berlauk dan kuih-muih kepada petugas di beberapa buah hospital di Brunei.

Bagi rakyat negara ini, ia bukan perkara baharu kerana sebelum ini Tunku Azizah turut meraikan para petugas hospital hasil air tangan Seri Paduka Baginda sendiri di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.

Kali ini Tunku Azizah menyantuni para petugas di beberapa buah hospital termasuk Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam (HPIHM) Temburong dan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (HRIPAS), Bandar Seri Begawan, Brunei.

Perkongsian rakyat negara itu dalam laman sosial Facebook (Fb) peribadi masing-masing menunjukkan mereka terharu dan berbesar hati selepas menerima kurniaan daripada baginda itu.

Rata-rata meluahkan rasa bertuah dan gembira apabila seorang Raja Permaisuri Agong yang cukup dikagumi berkenan mengurniakan sumbangan makanan kepada mereka.

Pengorbanan mereka sebagai barisan hadapan lebih-lebih lagi dalam situasi wabak Covid-19 melanda dunia cukup dihargai.

Seperti rakyat negara ini dan Pahang khususnya sedia maklum bahawa Tunku Azizah tidak akan duduk diam apabila rakyat ditimpa musibah.

Dalam apa juga musibah yang melanda rakyat jelata, baginda seboleh-bolehnya mahu menjadi yang pertama hadir di lokasi bagi membantu dan mendengar sendiri keluh kesah rakyat.

Dalam keadaan pandemik ini Raja Permaisuri Agong turut terkekang daripada turun padang namun ia tidak pernah meluntur kecintaan baginda untuk menyantuni rakyat secara berterusan.

Bergelar Raja Permaisuri Agong, Seri Paduka Baginda tidak pernah menjadikan darah diraja yang mengalir dalam dirinya sebagai penghalang untuk mendekati rakyat.

Atas dasar itu, Tunku Azizah sentiasa sedaya upaya menyantuni rakyat dalam apa jua cara dan kebanyakannya dilaksanakan tanpa diketahui orang ramai. - KitaReporters


1
0
0
0
0

Copy Link: