Seorang PATI bersembunyi dalam almari bagi mengelakkan diri ditahan oleh penguat kuasa Imigresen Selangor dalam satu operasi di sekitar Klang. - Kredit foto: FB Imigresen Selangor 


TAKTIK seorang wanita mengaburi mata penguat kuasa imigresen dengan berbohong mengatakan suaminya bekerja di luar Selangor ternyata gagal setelah lelaki itu ditemui bersembunyi di dalam almari.

Senario itu antara gelagat pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak ditahan oleh pihak berkuasa dalam operasi penguatkuasaan bermula jam 11 malam hingga 5 pagi pada 16 September 2021 yang menyasarkan kediaman sekitar Klang.

Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata pihaknya mendapati seorang lelaki warga Indonesia bersembunyi di dalam almari semasa serbuan serta pemeriksaan dilakukan.

“Terdahulu, isterinya yang juga warga Indonesia bersama seorang anak cuba membantu lelaki berkenaan dengan mengatakan dia bekerja di Johor dan tiada di situ.

"Namun itu sekadar satu helah setelah anggota operasi berjaya mengesan lelaki tersebut dalam almari. Pasangan berkenaan ditahan kerana tidak memiliki permit yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan seperti disiarkan Harian Metro pada 16 September 2021.

Ujar Mohamad Shukri lagi,  secara keseluruhannya seramai 22 daripada 26 warga asing yang diperiksa dalam operasi itu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

Tambah beliau, Imigresen Selangor akan turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik rumah sewa atau pihak-pihak yang melindungi PATI berkenaan. KitaReporters


14
16
0
8
0

Copy Link: