PRODUK kosmetik, Skin Revolution - Acne Clearing Solution, dikesan mengandungi racun berjadual clindamycin dan metronidazole yang boleh memudaratkan kesihatan.

Pengarah Kanan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Norhaliza A Halim berkata, notifikasi untuk produk itu telah dibatalkan, sekali gus tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

"Produk yang mengandungi clindamycin dan metronidazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

"Penggunaan antibiotik (clindamycin dan metronidazole) tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat, 6 Ogos 2021.

Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana perkara itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: