Rumah kebajikan terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur ini juga tidak berdaftar dengan JKM. - Kredit foto: Sinar Harian


RUMAH kebajikan dikenali sebagai Rumah Bonda di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang dipercayai jadi lokasi dera seorang remaja istimewa disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 12 Julai 2021.

Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh berkata tindakan tersebut dilakukan ekoran laporan berkaitan seorang anak Sindrom Down dikenali sebagai Adik Bella, berusia 13 tahun, yang dipercayai didera di rumah berkenaan.

“Rumah tersebut juga didapati tidak berdaftar dengan pihak JKM,” katanya yang dipetik oleh laporan Sinar Harian pada Isnin, 12 Julai 2021.

Dalam perkembangan berkaitan, polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes penderaan remaja perempuan berkenaan yang disyaki didera di sebuah rumah kebajikan didiaminya sejak setahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, pihaknya telah merakam keterangan beberapa individu termasuk pemilik rumah penjagaan itu.

"Kita telah merakam keterangan beberapa individu, kini kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya. - KitaReporters


2
1
3
1
1

Copy Link: